Hala Tuju Pelajar Tahfiz

HALA TUJU PELAJAR TAHFIZ

Apa Hala Tuju Pelajar Tahfiz Selepas Tamat Pengajian?

Ke mana hala tuju pelajar tahfiz? Ini adalah soalan yang sering kali ditanya bila berbicara soal sekolah pondok. Bagaimanapun, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pengajian Tinggi bersama beberapa IPT Awam dan Swasta telah memainkan peranan dengan merangka pelan dan hala tuju pelajar tahfiz. Untuk itu, MTQIM melalui laman web ini ingin berkongsi sedikit info berkenaan hala tuju pelajar lepasan tahfiz di Malaysia. Diharap info yang sedikit ini akan memberi manfaat yang besar kepada ibu bapa, penjaga mahupun masyarakat umum mengenai persoalan ini.

Pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Imam Malik terdiri daripada pelbagai laterbelakang dan peringkat umur. Ada yang berusia seawal 10 tahun (tahun 3) hingga 15 tahun (tingkatan 3). Tempoh yang diberikan kepada setiap pelajar untuk mengikuti silibus pembelajaran di MTQIM ialah 3 tahun. Bagaimanapun, jika pelajar gagal menunjukkan prestasi hafazan yang baik mengikut tempoh masa dan silibus, pelajar akan diberikan peluang tambahan selama 1 tahun untuk membaiki prestasi. Apapun, itu bukanlah persoalan. Kerana majoriti pelajar MTQIM Alhamdulillah berjaya menamatkan silibus dalam tempoh 3 tahun.

[Baca Kelebihan Menghafal AL Quran]

[baca 8 Cabaran Menghafal Al Quran]

Berikut adalah peluang dan ruang bagi pelajar aliran tahfiz untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi:-

UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM) MELALUI PROGRAM ACIS

Pelajar-pelajar aliran Tahfiz yang telah menduduki salah satu sama ada SPM, STPM, STAM, Martikulasi, Asasi atau Diploma kini berpeluang melanjutkan pengajian ke UiTM melalui program ACIS. Pelbagai program pengajian dari peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda, termasuk kursus-kursus professional ditawarkan melalui program ini (rujuk Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM).

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan syarat kemasukan dan FAQ di https://acis.uitm.edu.my/v1/index.php/home/latest-info/174-program-plus-tahfiz

KOLEJ UNIVERSITI DARUL QURAN ISLAMIYYAH (KUDQI) – TERENGGANU

Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) yang terletak di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu, Terengganu menawarkan kepada pelajar lepasan tahfiz yang TIDAK mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Di KUDQI, pelajar lepasan tahfiz dapat meneruskan pengajian ke peringkat Diploma hingga ke Ijazah terutama dalam bidang Syariah Dan Hukum.

PROGRAM TAHFIZ BESTARI: PERSEDIAAN SPM – KOJEL UNIVERSITI ISLAM MELAKA (KUIM)

Bagi pelajar tahfiz yang telah menduduki UPSR (masuk ke tahfiz pada umur 13 tahun), mereka boleh mengikuti program persediaan SPM di KUIM. Permohonan secara online juga disediakan untuk para pemohon > https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScd5_uBr7BEIw-nxNwp2ClXWDNBxwtZZ86NrUig8tfNciRY-g/viewform

Untuk info lanjut: http://www.kuim.edu.my/pusatislam/index.php/20-frontpage/256-latar-belakang

KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH (KUIN)

Kolej Universiti Insaniah (KUIN) menawarkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz al-Quran Dan al-Qiraat kepada pelajar lepasan tahfiz. Syarat kemasukan ke program ini, pelajar perlu:-

  • Lulus SPM termasuk kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (warganegara Malaysia sahaja) DAN
  • Lulus Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau
  • Lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam 2 mata pelajaran; atau
  • Lulus Program Asas Foundation/Matrikulasi ;
  • Lulus program Diploma; Atau
  • Kelayakan-kelayakan lain yang diiktiraf setara dengannya oleh Kerajaan Malaysia

Untuk info lanjut dan permohonan online untuk mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz al-Quran Dan al-Qiraat, layari https://insaniah.edu.my/portal/ijazah-sarjana-muda-tahfiz

YAYASAN PENDIDIKAN ISLAM SELANGOR (YAPIS) dengan kerjasama UNIVERSITI SELANGOR (UNISEL)

Untuk pelajar lepasan tahfiz yang TIDAK mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), YAPIS-UNISEL telah mewujudkan Program Peralihan Pelajar untuk menduduki kelas intensif Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dinamakan Program Fast-Track SPM atau lebih dikenali sebagai Unismart. Program ini ditawarkan kepada Pelajar Tahfiz yang berkelayakan.

Untuk info lanjut, layari https://unismart.webs.com/about-unismart

KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR (KUIS)

Kolej Universiti Islam Selangor menawarkan Sarjana Muda Al-Quran Dan Al-Qiraat (Kepujian) kepada pelajar lepasan tahfiz. Syarat kelayakan untuk mengikuti program pengajian ini seperti berikut:-

  • Lulus Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan mendapat lulus penuh dalam (2) mata pelajaran (mana-mana mata pelajaran lain yang berkaitan tidak termasuk lukisan), atau
  • Lulus Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan mendapat pangkat maqbul; atau
  • Lulus Matrikulasi / Foundation / Asasi dari mana-mana IPTA/IPTS/Institusi yang dibenarkan menawarkan program foundation dalam bidang berkaitan dengan mendapat PNGK 2.00; atau
  • Mempunyai A-Level atau yang setara dengannya bagi pelajar-pelajar Antarabangsa; atau
  • Kelayakan-kelayakan lain yang setara yang diiktiraf Kerajaan Malaysia; atau
  • Lulus Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat yang diiktiraf oleh Jawatankuasa Senat KUIS; atau
  • Lulus Diploma Pengajian Islam atau yang setaraf dengannya; atau
  • Mempunyai Sijil Tamat Hafazan Al-Quran yang diiktiraf oleh Jawatankuasa Senat KUIS

Untuk info lanjut dan borang permohonan, layari http://www.kuis.edu.my/v4/ijazah-sarjana-muda

KOLEJ-KOLEJ SWASTA

Antara kolej-kolej swasta yang membuka peluang lanjutan pendidikan kepada pelajar tahfiz ialah:-
– Kolej Poly-Tech MARA
– Kolej Komuniti Bermodular
– INPENS International College
– Lain-lain institusi pendidikan yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau Kursus-Kursus Jangka Pendek

PELAN UMUR PELAJAR TAHFIZ

Menyambung ke Tingkatan 1

Bagi pelajar lepasan tahfiz yang memasuki tahfiz seawal umur 8 tahun mereka akan berjaya menghafaz 30 Juzuk Al Quran setelah umur 12 tahun. Maka tiada masalah untuk mereka memasuki melanjutkan Persekolahan arus perdana (SPM/STAM/Diploma/Ijazah/Master/PhD). Jika cemerlang, pelajar Tahfiz boleh menyambung pengajian hingga ke Universiti Timur Tengah (Mesir, Jordan, Yaman, Kuwait, juga di Indonesia atau Thailand)

Mengambil Peperiksaan SPM

Kebiasaan pelajar tahfiz yang memasuki sekolah tahfiz pada umur 13 tahun mereka akan berjaya menghafaz 30 Juzuk Al Quran setelah umur 16 tahun. Maka tiada masalah untuk mereka masuk semula Sekolah Menengah untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

MENYAMBUNG PENGAJIAN DALAM BIDANG AGAMA

Pelajar-pelajar lepasan tahfiz juga berpeluang menyambung ‘Pengajian Kitab’ ke peringkat yang lebih tinggi. Beberapa akademi pengajian lanjutan dalam bidang agama untuk pelajar-pelajar lepasan tahfiz menyediakan peluang ini, antaranya:-

  • Madrasah Sri Petaling
  • Madrasah Kubang Bujuk
  • Pondok-Pondok Pesantren (Indonesia)
  • Darul Ulum (India/Pakistan/Afrika Selatan)
  • Beberapa tempat di Timur Tengah seperti di Mesir, Jordan, Arab Saudi, Yaman dan Maghribi

Agensi yang berpengalaman dalam menguruskan pelajar Malaysia ke Timur Tengah boleh rujuk: http://www.mauizahrc.com/

BIDANG KEMAHIRAN

GIAT MARA

Pusat Giat MARA juga menawarkan lebih 35 Kursus Kemahiran untuk Pelajar Tahfiz berumur 15 tahun ke atas.

SIJIL TAHFIZ (JAKIM)

Pelajar lepasan tahfiz boleh menduduki peperiksaan yang ditetapkan oleh pihak JAKIM untuk memperolehi Sijil Tahfiz Malaysia (STM). Sijil STM boleh digunakan sama ada untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau meningkatkan peluang pekerjaan. Pelajar lepasan tahfiz yang mempunyai STM juga boleh memohon biasiswa Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) bagi melanjutkan pengajian ke Universiti di dalam dan luar negara.

Untuk mendapatkan Sijil Tahfiz Malaysia (STM), pelajar lepasan tahfiz perlu menghadiri sesi Ujian Syafawi & Ujian Tahriri untuk layak mendapat Sijil Tahfiz Malayasia (STM).

Untuk info lanjut: http://www.darulquran.gov.my/

Sebenarnya terdapat banyak lagi cara dan tempat yang boleh dipilih oleh pelajar lepasan tahfiz untuk mengatur hala tuju. Untuk rujukan keseluruhan, anda boleh melakukan semakan di sini https://www.moe.gov.my/images/Terbitan/Rujukan-Akademik/Hala%20Tuju%20Pengajian%20Islam%20di%20Malaysia.pdf

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.