Tips Menghafal Al Quran

TIPS MENGHAFAL AL QURAN

Sesuatu yang dilakukan dengan bersistematik dan tersusun, kebiasaannya akan dapat diuruskan lebih mudah, lancar dan insya Allah akan mencapai objektif. Begitu juga dengan urusan menghafal kitab Al Quran. Di sini, admin ingin berkongsi sedikit trick mudah atau Tips Menghafal Al Quran.

Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa kualiti dan kuantiti hafalan banyak dipengaruhi oleh faktor luaran seperti persekitaran, suasana, pemakanan, sosial dan sebagainya. Oleh sebab itulah, hampir kesemua pusat tahfiz Al Quran menerapkan persekitaran yang kondusif dan membuat gairs panduan berhubung displin, lawatan keluarga dan kebebasan keluar-masuk pelajar.

Secara lazimnya, proses menghafal Al Quran boleh dibahagikan kepada 3 peringkat / fasa asas iaitu Taaruf, Tahfiz dan Murojaah:-

  1. Fasa Taaruf Al Quran (Pra Hafalan)
  2. Fasa Tahfiz (Hafalan)
  3. Fasa Murojaah (Menjaga Hafalan)

FASA TAARUF AL QURAN (PRA HAFALAN)

Seperti tajuk, perkara pertama yang perlu kita fahami ialah Taaruf Al Quran iaitu mengenali Al Quran. Mana mungkin kita dapat memahami isi hati seseorang jika kita tidak mengenali sifatnya. Begitu juga halnya dengan Al Quran. Antara sifat kitab suci Al Quran ialah:-

  1. Mudah dihafal. Allah SWT telah berfirman dalam surah Al Qamar (54:17): “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” – QS 54:17. Terdapat banyak ayat-ayat dalam Al Quran yang hampir sama dan berulang-ulang.
  2. Mudah terlupa. “Menghafal Al Quran itu seperti mengikat unta. Bila longgar sedikit saja ikatannya, maka akan sangat mudah lepas.”
  3. Al Quran adalah kitab suci dan merupakan mukjizat yang diturun oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan diwasiatkan kepada seluruh ummatnya sebagai petunjuk yang paling lengkap. Terdapat terlalu banyak fadhilat / kelebihan kepada sesiapa yang menghafal Al Quran, mengamalkannya dan menjadikan Al Quran sebagai rujukan. “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;” QS 2:2
  4. Dengan menghafal Al Quran lebih-lebih lagi memahaminya boleh membuatkan hati kita terbuka, menerangi hati kepada kebenaran Islam dan menemukan mukjizat-mukjizat yang terkandung dalam Al Quran. Secara tidak langsung, insya Allah akan menambah nikmat iman dan nilai takwa dalam diri.

Setelah kita berkenalan dengan kitab Al Quran yang bakal kita hafal, tumpukan pula kepada subjek iaitu diri kita sendiri mengapa kita mahu menghafal Al Quran:-

  1. Carilah motivasi yang tepat dan niat atau tetapkan matlamat kita menghafal Al Quran. Adakah tujuan kita menghafal sekadar mengisi masa lapang atau sesuatu yang lebih bermakna. Hal ini sangat penting kerana ia akan membentuk prinsip, kesungguhan, halatuju dan sekaligus menentukan kualiti hafalan.
  2. Tentukan jadual khusus untuk kita menghafal.
  3. Persiapkan diri dengan gangguan-gangguan, halangan-halangan, cabaran-cabaran dari pelbagai faktor dan sudut yang boleh melemahkan semangat dan berpaling dari istiqamah. [Baca: 8 Cabaran Menghafal Al Quran]
  4. Menilai tahap (bertahap – tadarruj) hafalan kita. Tidak perlu tergesa-gesa, sebaliknya ulangi bacaan supaya mantap dan berkualiti. Lebih baik sedikit tetapi kuat, daripada banyak tetapi lemah. “Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”. QS 20:114

FASA TAHFIZ (HAFALAN)

Selepas bertaaruf antara objek dan subjek kini tiba masanya kita memasuki fasa Tahfiz (hafalan).

Sekarang kita akan memasuki dunia hafalan secara teknik, praktik dan trik hafalan. Secara teorinya penulis lebih suka menyerahkan sendiri kepada pembaca bagaimana untuk menentukan teknik dan praktik kerana pembaca sendiri lebih memahami bagaimana keadaan, persekitaran, pekerjaan, tanggungjawab lain dan sosial (dzuruf) pembaca.

Di sini, penulis hanya mampu memberikan trik atau tips menghafal Al Quran secara lazim.

  1. Membaca dengan perlahan-lahan dan cuba memahami makna ayat yang ingin kita hafal pada waktu pagi, malam dan sebelum tidur.
  2. Waktu terbaik untuk menghafal ialah selepas solat subuh. Secara tadarruj bermula dari kalimah demi kalimah (jumlatan fa jumlatan). Ingat, bukan ayat demi ayat. Selepas menghafal kalimat demi kalimat, ulangi hafalan tanpa melihat teks Al Quran. Kemudian, berpindah ke kalimah yang lain.
  3. Setelah lancar, barulah berpindah ke ayat yang lain. Cuba cari perhubungan, kaitan atau kesinambungan isu yang Allah SWT sampaikan antara kedua ayat. Lazimnya ayat-ayat Al Quran mempunyai satu isu bagi setiap separuh halaman.
  4. Digalakkan menghafal satu halaman penuh (atau 2 halaman penuh) setiap hari. Ini adalah trik untuk mencipta gambaran muka surat kiri / kanan dalam memori kita (mind capture).
  5. Digalakkan kita membaca semula hafalan di hadapan orang yang sudah menghafal lebih dari kita (contoh bagi pasangan suami-isteri, adik beradik dll). Trik ini bukan sahaja boleh memperbetulkan hafalan kita, tetapi bermanfaat untuk menajamkan hafalan pasangan.

FASA MUROJAAH (MENJAGA HAFALAN)

Adalah diingatkan bahawa fasa Murojaah adalah peringkat yang paling penting antara dua peringkat di atas. Seperti juga peringkat Tahfiz, peringkat Murojaah juga mempunyai tadarruj (bertahap).

  1. Murojaah sebelum membuat hafalan baru. Hafalan sebelumnya ialah hafalan ¼ juzuk. Jadi, jangan membuat hafalan baru selagi ¼ juzuk hafalan sebelumnya masih lemah.
  2. Mujoraah hafalan baru. Selepas kita menghafal satu-satu ayat di sebelah pagi, luangkanlah masa khusus untuk mengulang hafalan baru kita. Waktu paling baik ialah ketika solah dhuha. Semakin kerap diulangi dalam solat, semakin baik.
    1. Mujoraah ¼ juzuk (5 halaman). Mujoraah ini dilakukan setiap hari dan berlanjutan selama beberapa hari kemudian digabungkan. Tetapi, sila pastikan dahulu hafalan ini benar-benar tajam.
    2. Mujoraah 1 juzuk. Sama seperti mujoraah ¼ juzuk, mujoraah ini juga boleh digabungkan dengan mujoraah sebelumnya. Seperti juga mohoraah ¼ juzuk, pastikan hafalan ini benar-benar mantap.
    3. Mujoraah setiap 5 juzuk. Jika berkemampuan, mujoraah ini juga boleh digabungkan. Tetapi, di pusat-pasat tahfiz mungkin jarang yang menggabungkan bacaan 5 juzuk sekaligus.

Apapun, kaedah-kaedah yang penulis terangkan di atas bukanlah satu kaedah tetap. Ianya bersifat fleksibel bergantung kepada diri pembaca. Tetapi daripada pengalaman, kaedah yang diberikan di atas boleh membantu pembaca dalam proses hafalan Al Quran.

Di sini, admin ingin memberikan beberapa tambahan tips menghafal Al Quran yang mungkin bermanfaat buat pembaca.

  • Hafalan akan lebih cepat jika kita menghafal sambal memahami maksudnya. Sama ada merujuk kepada terjemahan atau tafsir.
  • Setelah memahami maksudnya, fahamilah juga bahawa Al Quran itu terbahagi kepada frasa dan puisi. Frasa membuatkan kita lebih mudah mengaitkan isu antara satu ayat dengan ayat yang lain.
  • Mengatur masa dalam sehari dengan sebaik mungkin. Sekirang-kurangnya tekankan kepada 2 prosidur penting, iaitu murojaah dan hafalan baru.

Jika para pembaca mempunyai pandangan atau teguran mengenai post ini, sila hubungi admin.

Semoga post kali ini memberi manfaat kepada pengunjung laman web Maahad Tahfiz Al Quran Imam Malik, insya Allah.

Leave a Comment