Waspada Ayat Al Quran Palsu

WASPADA AYAT AL QURAN PALSU

Bahawa orang-orang kafir itu tidak akan berputus asa untuk memecah belahkan ummat islam. Mereka tidak akan berputus asa sehingga hari kiamat. Mereka akan melakukan apa sahaja, dari segala sudut dan segenap penjuru termasuk membuat ayat Al Quran palsu.

Hiburan yang melalaikan, pemakanan yang merosakkan, pemakaian yang mendedah aurat, fitnah terhadap islam dan kepimpinan islam, pembunuhan melalui jalan peperangan, adu domba dan melaga-lagakan sesama islam hinggalah mereka mewujudkan ayat Al Quran palsu. Segalanya demi menyesatkan ummat islam.

Hal ini telah disebutkan oleh Allah SWT lebih 1400 tahun lalu:

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. (QS. Al-Baqarah: 120)

Mungkin bagi kita di Malaysia masih dilindungi oleh pemantauan dan prosedur yang ketat dan besistematik. Kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa bertindak pantas dalam menyekat bahan-bahan penyelewengan agama islam dari memasuki Malaysia.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaminan dan amat bahaya bagi ummat islam di Malaysia yang gemar mencari maklumat di internet yang terbuka dan tanpa sempadan dan pemantauan atau yang gemar membeli buku-buku yang tidak mendapat kebenaran masuk oleh KDN.

ORANG KAFIR MENCIPTA AYAT AL QURAN PALSU

Artikal kali ini akan menjurus kepada salah satu jarum kafir iaitu yahudi mencipta ayat Al Quran palsu.

Dalam beberapa ayat dalam Al Quran, Allah SWT telah mencabar orang-orang kafir untuk membuat yang sebanding dengan Al Quran jika mereka dipihak yang benar. Antara ayat-ayat yang mencabar orang-orang kafir yang Allah SWT sebutkan:-

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”. (QS Al-Israa’: 88)

Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu! ” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar”. (QS Hud: 13)

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. (QS Al-Baqarah: 23)

(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!”. (QS Yunus: 38)

ALLAH AKAN MEMELIHARA AL QURAN

Dalam surah Al-Israa’ ayat 88, Allah SWT telah berfirman “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.

Ini merupakan keistimewaan yang ada pada Al Quran yang tidak dimiliki kitab-kitab lain. Al Quran tetap terpelihara keasliannya, tidak akan mengalami perubahan sedikitpun sama ada penambahan atau pengurangan. Al Quran yang ada di zaman sahabat radhiwanhullaihi ‘alaihum ajma’in sama seperti yang ada pada umat islam pada hari ini.

Sesungguhnya Kami yang menurunkan Adz-Dzikir (Al Quran), dan sesungguhnya Kami benar-benar akan memeliharanya. (QS Al-Hijr: 9)

Allah SWT telah berjanji akan memelihara Al-Quran sehingga hari kiamat. Sehinggakan Allah SWT pernah mencabar manusia dan jin untuk membuat sesuatu yang sebanding dengan Al-Quran.

Syaikh Zaid ibn ‘Abdil Karim Az-Zaid dalam kitab Fiqhus Sirah menjelaskan bahawa Allah SWT akan memelihara Al Quran dengan dua cara:-

1. Dipelihara oleh Allah SWT sendiri seperti firmanNya dalam surah Al Hijr atay 9. Allah SWT akan menjaga kitab Al Quran dari perubahan, penambahan, pengurangan dan penggantian.

2. Allah SWT akan memunculkan sekelompok dari ummat Nabi Muhammad SAW pada setiap masa yang sentiasa berkomitmen berada di jalan kebenaran. Seperti sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud: “Akan sentiasa ada sekelompok dari ummatku, mereka komitmen atas kebenaran. Orang-orang yang mengucilkan mereka tidak akan membahayakan mereka. Sehingga datang ketetapan Allah, sementara mereka tetap dalam keadaan seperti itu” (Muttafaq ‘alaih).

AYAT-AYAT AL QURAN PALSU

Daripada rekod yang tercatat terdapat 12 surah palsu telah dicipta dan ditambah dalam beberapa versi cetakan Al Quran. Tetapi terdapat 4 surah yang terkenal dan disebarkan dengan meluas.

1. Al-Iman (Kepercayaan)
2. Al-Muslimun
3. Al-Tasajjud (Penjelmaan)
4. Al-Wasaya (Perintah)
5. Al-Nurayn (Cahaya)
6. Al-Wilaya

Rujuk www.suralikeit.com

1. AL-IMAN (KEPERCAYAAN)

Surah ini menceritakan satu kisah pengikut Nabi Isa as yang sedang belayar di lautan terbuka dan begelora. Dalam kesusahan, mereka terlihat kelibat Nabi Isa as yang sedang berjalan di atas air. Kemudian mereka mempersoalkan tindakan Allah SWT. Lalu Allah SWT menegur mereka dan mengingatkan mereka tentang kekuasaanNya. Selepas itu, mereka juga diberi mukjizat untuk berjalan di atas air dan membuatkan mereka terselamat lalu mengucapkan syukur.

Daripada kisah pembohongan ciptaan kafir ini, dapat difahami bahawa manusia biasa boleh berkomunikasi secara langsung dengan Allah SWT. Amat sukar difahami adakah mereka (pengikut Nabi Isa as) sedang memohon kepada Allah SWT atau kepada ‘anak Tuhan’. Satu lagi pembohongan yang paling ketara dan jelas dalam surah ini ialah apabila manusia biasa diberikan mukjizat untuk berjalan di atas air oleh Allah SWT.

2. AL-MUSLIMUN

Surah palsu ini berkisar peringatan kepada ummat islam berkenaan ketidak percayaan mereka kepada Allah SWT dan Nabi Isa as. Juga diberi peringatan berkenaan balasan jika ummat islam tidak mempercayai kebenaran Nabi Isa as.

Kemudian Allah SWT menegur Nabi Muhammad SAW kerana telah menyesatkan kaum muslimin dengan meninggalkan amalan yang dibawakan oleh Nabi Isa as.

Di pengakhiran surah ini, dikatakan bahawa Nabi Muhammad SAW memohon maaf kepada Allah SWT atas kesilapan baginda dan menyesal kerana baginda telah berjaya dihasut oleh godaan syaitan.

Jika diteliti secara keseluruhan isi kandungan Al Quran, ternyata surah ini mempunyai konflik dengan ayat-ayat lain yang mengatakan Rasulullah SAW terpelihara dari dosa (ma’sum). “Tidak mungkin seorang nabi berbuat khianat” (QS Ali Imran: 161).

3. AL-TASAJJUD (PENJELMAAN)

Kisah yang cuba diceritakan dalam surah ini adalah berkenaan dengan kekuasaan Allah SWT. Ia mengajak ummat islam untuk menerima konsep Nabi Isa as bukanlah anak Tuhan, tetapi telah menjadi sebahagian dari Tuhan itu sendiri.

Kemudian, Nabi Isa as dikatakan telah dihantar oleh Tuhan ke dalam kehidupan manusia untuk bercampur dan meninggal dunia dalam kalangan manusia. Seterusnya diangkat ke langit selepas 3 hari kewafatannya. Secara keseluruhan, surah palsu ini cuba memujuk ummat islam untuk menerima konsep Nabi Isa as adalah anak Tuhan dan mengancam sesiapa yang tidak mempercayai konsep ini untuk berhadapan dengan murka Allah SWT.

Admin sendiri pun tak faham apa sebenarnya konsep yang cuba nak disampaikan dalam pembohongan ini. Sama ada Nabi Isa as sebenarnya sebahagian daripada Tuhan atau anak Tuhan. Yang pasti, surah ini sangat menyimpang dan mampu merosakkan aqidah ummat islam dengan parah.

4. AL-WASAYA (PERINTAH)

Surah Al Wasaya, merupakan surah yang paling mengarut hasil ciptaan kafir. Ia mengisahkan kepada perintah yang dikatakan datang daripada Allah SWT yang sangat teperinci. Dalam surah ini diberikan panduan lengkap untuk menguap dan larangan untuk melekatkan gambar anjing di dinding. Diikuti ayat mengarut lain iaitu pengharaman (dosa besar) memakai kasut dimulai dengan kaki kiri.

Semakin mengarut bila Tuhan memerintahkan orang islam untuk menyerang dan membunuh sesiapa sahaja yang termasuk dalam golongan munafiq, selain galakan untuk bersumpah dengan nama Allah SWT.

Keseluruhan ‘perintah Tuhan’ yang dinyatakan dalam surah ini bertentangan dengan tuntutan Allah SWT dalam surah-surah lain dan konsep islam itu sendiri.

5. AL-NURAYN (CAHAYA) & AL-WILAYA

Dua surah palsu yang wujud pada kurun ke-17 ini dikatakan ditulis di India, namun tidak diketahui penulis yang sebenar. Bagaimanapun, belum ada lagi mana-mana versi Al Quran yang diselitkan dengan kedua surah ini.

Daripada bentuk tulisan, dikatakan kedua-dua surah ini ditulis oleh penganut syiah berdasarkan ‘keagungan’ melampau yang diberikan kepada khalifah ke empat (Ali Bin Abi Talib) selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Surah Al-Nurayn, menceritakan tentang dua cahaya yang akan melindungi orang islam dan menjadi petunjuk kepada jalan kebenaran. Dalam surah ini, nama Saidina Ali disebut sebagai seorang alim ulama’ yuang sentiasa berdoa pada setiap malam supaya Allah SWT mengampuni semua dosa orang-orang islam.

Tema penceritaan dalam surah Al-Wilaya hampir serupa dengan surah Al-Nurayn iaitu peringatan berkenaan hari akhirat dan peringatan kepada mereka yang tidak mempercayai Al Quran. Penulis surah palsu ini mengakhiri surah dengan pujian kepada Allah SWT dan Ali sebagai saksi.

******************

Alhamdulillah, setiap kali ada dikalangan orang-orang kafir, golongan sesat lagi menyesatkan cuba untuk mengubah Al Quran, maka akan muncullah satu golongan yang akan meluruskan kesalahan dan kekeliruan tersebut. Ummat islam di segenap pelusuk dunia akan sepakat dalam mengekang kesesatan dan penyelewengan Al Quran.

Admin mempunyai text surah yang disebutkan di atas. Tetapi admin memilih untuk tidak menerbitkannya kerana khuatir, penyebaran surah-surah palsu ini akan mendatangkan malapetaka dan kesesatan terhadap mereka yang menelan bulat-bulat tanpa mengkaji dan mempelajari dari guru bertauliah dan terhadap generasi internet.

Sebenarnya masih banyak lagi ayat-ayat, surah-surah, hadith-hadith, tafsir dan pelbagai bahan penerbitan yang menyeleweng sama ada yang bercetak, aplikasi telefon mahupun dari sumber internet. Ummat Islam hari ini seharusnya perlu lebih berwaspada dalam mencari maklumat. Sebaiknya rujuklah kepada guru-guru agama yang lebih arif lagi bertauliah jika terdapat sebarang kemushkilan berkaitan al quran. Wallahu’alam. 

Leave a Comment